Wednesday 5 December 2012

‎[NEWS] 121205 "EXO-M, BtoB tekad curi perhatian"



MESKIPUN lambakan band K-Pop semakin ‘berleluasa’ dan muncul selang beberapa bulan sekali, ia tidak membuatkan sebuah lagi band baru, EXO-M gusar untuk mencuri perhatian di Korea dan luar negara.

Ingin mengukir kejayaan seperti juga rakan artis ‘senior’ yang sudah diakui hebat termasuklah BigBang mahupun Super Junior, kumpulan ini dianggotai enam jejaka muda - Kris, Xiumin, Lu Han, Lay, Chen dan Tao. Mereka ditubuhkan pada 2011. 
Popular dengan lagu Mama, EXO-M sebenarnya adalah sub kumpulan kepada EXO yang mempunyai 12 anggota asal, tetapi dipecahkan pula kepada dua sub iaitu EXO-K untuk anggota kelahiran Korea manakala EXO-M pula kebanyakan berasal dari China. 

Mengenali enam jejaka ini, mereka sangat mementingkan perhubungan sesama sendiri biarpun terpaksa menjaga banyak ‘kepala’ namun bagi mereka, itu perkara mudah. Selagi ada persefahaman, tiada masalah besar akan melanda dan istimewanya biarpun masing-masing ada perangai sendiri, mereka mula terbiasa serta menyukai keadaan sebegitu.

Ditempatkan serumah, Tao berkata, Xiumin misalnya adalah seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan semua masak dengan perangainya itu namun bersyukur ada karakter sebegitu.

“Xiumin memang paling cerewet mengenai kebersihan tempat tinggal kami dan akan sentiasa memastikan bilik berada dalam keadaan kemas setiap hari. Dia paling pantang dan akan mula bising apabila menyedari ada bau-bau yang tidak menyenangkan dalam rumah kami. 

“Memang seronok tinggal ramai-ramai apatah lagi dapat bersama mereka yang mempunyai kepakaran tersendiri. Kalau Lay, dia pula dikenali dengan kemahiran memasak. Tiada masalah apabila tiba pada aspek makanan kerana dia boleh memasak apa saja sehingga kami sendiri beri dia gelaran Raja Masak. 

“Manakala, selaku ketua kumpulan, Kris sememangnya sangat berjaya memainkan peranan itu dan di kala kebosanan, dia akan mengatur pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang kami. Tidak sekalipun ada yang akan terkecuali setiap kali dia merancang sesuatu aktiviti dan semua pasti turut serta. 

“Sementara, Lu Han yang tinggal sebilik dengan Lay pula terkenal dengan sikapnya yang tidak suka orang lain mengacau katilnya tetapi Lay akan sentiasa menguji kesabarannya dan selamba duduk di katil Lu Han. Bagaimanapun, tanpa belas-kasihan, Lu Han akan menendang Lay turun dari katilnya setiap kali berlaku babak itu! 

“Banyak perkara lucu dan itulah dia keakraban yang kami sangat utamakan sebagai satu band sekali gus persefahaman bukanlah satu isu besar buat kami,” katanya mengimbas perangai masing-masing. 

Sehingga kini, EXO-M cukup cemerlang dan menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila pernah memenangi anugerah Most Popular Group of the Year di Mengniu Music Billboard Awards kelima di samping kejayaan tiga single mereka - What Is Love, History dan Mama. 

Bakal berkunjung ke Malaysia menjayakan satu ‘showcase’ pada 11 Disember ini, turut berkongsi pentas dengan mereka termasuklah sub-kumpulan Super Junior iaitu Super Junior-M serta BtoB yang tidak kurang popularnya. 

EXO-M dan BtoB bakal bergandingan dengan sub-kumpulan Super Junior, Super Junior-M menerusi Asia Super Showcase 2012 in Malaysia yang akan berlangsung pada 11 Disember ini bermula jam 8 malam di Tingkat 15, Kenanga Wholesale City. 

*bahagian tidak berkaitan dengan EXO-M tidak disertakan.

source: http://bit.ly/Szoxry

No comments:

Post a Comment